PETALING JAYA: PKR akan meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan satu karnival terbuka di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini.

Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata karnival yang disasar menarik pembabitan 10,000 pengunjung itu antara lain akan menyajikan pameran, wacana forum dan pelbagai pengisian menarik yang berkaitan dengan sejarah penubuhan parti.

"Sejarah penubuhan parti ini bermula dengan pelbagai rencam dan ujian sehingga mematangkan perjuangan, dengan kemuncaknya membawa kepada penglibatan PKR dalam sebahagian daripada tampuk pemerintahan negara, dan ia akan dipersembahkan dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti," katanya.

Bercakap dalam persidangan media sempena penganjuran Karnival 25 Tahun Keadilan itu di sini, beliau berkata selain itu satu majlis kesyukuran turut dirancang sebagai acara sambutan, di samping majlis makan malam bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota.

Beliau berkata sempena sambutan itu PKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk membuka kaunter-kaunter bergerak termasuk kaunter pembayaran saman, kaunter permohonan kad pengenalan dan kaunter berkaitan hal ehwal pensijilan halal.

Nurul Izzah berkata karnival itu juga akan menyajikan aktiviti menarik lain seperti permainan tradisional rakyat, persembahan buskers dan persembahan artis seperti Aisha Retno, Kaka Azraff dan Datuk Zainal Abidin, selain jualan gerai dari pelbagai vendor tempatan.

-- BERNAMA